Google
 
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Wednesday, September 3, 2008

Hobi menenangkan di udara Oleh RAHANA MOHD. DAHARI

KOTA BHARU 3 Sept. - Aktiviti sukan atau riadah di udara, masih belum diceburi secara meluas oleh rakyat negara ini - mungkin kerana ia dikaitkan dengan sesuatu yang mencabar, berisiko dan menelan belanja yang besar.

Salah satu daripadanya ialah luncur udara atau paragliding yang telah diperkenalkan di negara ini lebih satu dekad lalu dengan wujudnya beberapa kelab yang lebih tertumpu di Lembah Klang.

Paragliding diterbangkan daripada tempat tinggi, melayang dan meluncur mengikut kelajuan angin; justeru ia memerlukan waktu dan lokasi yang sesuai bagi membolehkan seseorang itu melayang di udara.

Bagi merasai pengalaman yang lebih menyeronokkan, Mat Jusoh Mamat, 62, seorang peniaga menggunakan luncur udara bermotor (powered paragliding) atau dikenali sebagai paramotor kerana ia memudahkan lagi penerbangan.

Masih belum ramai yang memiliki jentera itu dan kebanyakan kelab memilih menggunakan luncur udara solo atau paragliding yang bergantung 100 peratus pada udara dan ketentuan cuaca.

"Sebaliknya paramotor pula boleh diterbangkan di mana-mana tanah rata lebih kurang 20 meter untuk dijadikan landasan sebelum terbang ke udara.

"Kenderaan ini menggunakan kuasa enjin bagi menggerakkannya, kipas jenis lembut dan payung kanopi.

"Jenis bermotor kurang berisiko kerana ia masih boleh terbang jika enjin rosak," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Tumbuh, Kota Bharu baru-baru ini.

Tambahnya, luncur udara miliknya biasa diterbangkan pada ketinggian 400 hingga 500 kaki dengan kelajuan 70 kilometer meskipun ia boleh mencecah 18,000 kaki.

Dengan terbang rendah dan perlahan, baginya itulah saat paling mengasyikkan dengan pandangan yang menarik terbentang di depan mata.

Paramotor, dengan mesin yang dilekatkan di belakang juruterbangnya, ia seakan terbang bersendirian kerana kesan pendulum apabila kedudukannya tergantung di bawah payung.

Mat Jusoh, bekas tukang masak di pelantar minyak itu yang lebih mesra dengan panggilan Pak Soh tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk mempelajari dan terus mengendalikan penerbangan sebagai hobinya.

Menurutnya, kemahiran mengendalikan luncur udara bermotor itu dipelajari dua tahun lalu selepas hampir 10 tahun terlibat dengan hobi bermain alat kawalan jauh terutama menggunakan model kapal terbang dan helikopter.

"Saya beralih kepada hobi lebih mencabar selepas bertemu kawan di Miri, Sarawak dua tahun lalu yang memperkenalkan luncur udara bermotor walaupun ketika itu saya langsung tidak mempunyai asas dalam penerbangan," katanya yang merupakan pemilik tunggal kenderaan jenis itu di negeri ini.

Pak Soh berkata, di peringkat awal dia membeli luncur udara solo di Thailand dengan harga RM17,000 dan bersama seorang anak saudara yang berminat, dia mempelajari teknik mengendali dan menerbangkannya.

"Saya tidak menggunakan khidmat mana-mana jurulatih tetapi meniru kaedah yang sama ketika bermain alat kawalan jauh dan berlatih berulang kali menggunakan tali, seperti orang bermain layang-layang.

"Saya menerbangkan pesawat manakala anak saudara menunggu di bawah untuk mengawal dan membantu jika berlaku kemalangan.

Selepas dua minggu, saya mahir mengendalikannya dan sering mengadakan latihan di sekitar kawasan lapang di Bachok, Tok Bali atau di perkarangan pasar raya Tesco di sini," katanya.

Selepas setahun yakin dengan kemahiran dan pengalaman, Pak Soh membuka syarikat perkhidmatan yang berpengkalan di Pulau Perhentian, dengan membeli paramotor yang mempunyai dua tempat duduk dengan kos RM52,000.

"Seorang rakan warganegara Australia yang saya kenali sebagai James, salah seorang pemilik paramotor di negara ini dan mengendalikan kelab Airventure di Pulau Indah, Klang membantu saya mengimportnya dari Republik Czechoslovakia," katanya.

Syarikat Identify Flying Object (IFO), menawarkan perkhidmatan penerbangan mengelilingi pulau di kalangan pengunjung dengan kadar bayaran RM180 untuk menikmati keindahan pemandangan alam.

"Kita dapat melihat alam laut yang jernih biru berkaca, melihat keunikan karang dan ikan-ikan di dasarnya.

"Ia dikendalikan empat kakitangan di mana dua membantu ketika terbang dan mendarat serta dua lagi menggunakan bot berenjin mengawal di laut sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, '' katanya.

Tambahnya, untuk melibatkan diri dengan luncur udara bermotor, individu perlu memperoleh kelulusan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan mematuhi garis panduan penerbangan yang ditetapkan.

Bapa kepada empat orang anak itu turut didorong oleh isterinya, Engku Ramlah Che Ku Mat yang juga seorang bekas jurugambar di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Selain menguruskan syarikatnya, Pak Soh turut dijemput untuk mengadakan persembahan di beberapa buah sekolah malah beliau turut mempunyai beberapa pelajar yang berminat dalam bidang luncur udara untuk belajar kemahiran berkaitan.

Sumber Berita dan Gambar : Utusan Online 04/09/2008

3 comments:

ita.itu said...

aku teringin nak terbang ngan payung terjun tuh..mana nak carik ek..haha

izman said...

ita.itu,
kalau kat selangor, kawasan main menda ni ialah di bukit jugra.

ita, sebelum ko naik, pastikan ko kurangkan makan sikit yer. nanti semput paraglider nak angkut ko...(jgn marah, nanti batal pose)

Mat Jey said...

Nak naik? boleh aja. Jom bersama IFO Paramotor. Alami sendiri kebebasan terbang di udara.
http://ifoparamotor.com