Google
 
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.
Showing posts with label Malay Edition. Show all posts
Showing posts with label Malay Edition. Show all posts

Friday, November 7, 2008

Setem baru bangkit seri cengkerang


KAKITANGAN Pos Malaysia, Nurul Hidayah Abdul Bari Arbee menunjukkan koleksi terbaru setem siri cengkerang laut di Kuala Lumpur semalam.

HASIL LAUT. Keunikan cengkerang laut kini diabadikan pada koleksi terbaru setem yang dilancarkan oleh Pos Malaysia Berhad di Kuala Lumpur semalam.

Bagi setem denominasi 30 sen, PMB memilih spesies Horned Helmet dan Burnt Murex yang biasanya ditemui di dalam terumbu karang di laut cetek dan berpasir serta terkenal dengan kecantikan duri.

Setem dengan nilai 50 sen pula memaparkan spesies Frog Shell yang mempunyai corak kulit seperti batu bagi memudahkannya bersembunyi daripada pemangsa selain spesies Triton's Trumpet.

Spesies Venus Comb Murex pula yang hanya ditemui di dasar laut berpasir dan mempunyai lebih 100 duri pada cengkerangnya dipilih menghiasi lembaran mini.

Mereka yang berminat mendapatkan koleksi ini boleh membelinya di pejabat pos mulai 11 November atau layari www.pos.com.my untuk maklumat lanjut.


Sumber Berita & Gambar : Kosmo Online 08/11/08 (www.kosmo.com.my)

Tuesday, October 28, 2008

Terbesar di Malaysia

Walaupun pameran barangan antik acapkali diadakan di negara ini, tetapi pameran dan lelongan barangan antik di Shah Alam baru-baru ini yang paling besar pernah diadakan.


PENGUNJUNG yang datang bersama anak-anak begitu tertarik melihat barang yang dipamerkan.

PAMERAN dan Lelongan Amal Barang Antik 2008 yang berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor selama tiga hari bermula 24 Oktober lalu berjaya mencatat sejarah tersendiri.

Program anjuran pelajar Sarjana Komunikasi Korporat, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Heritage Auction House serta Muzium Sultan Alam Shah itu menyaksikan lebih 400 barangan antik yang diperoleh dari serata dunia termasuk Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dipamerkan dan dijual. Majlis ini telah dirasmikan Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said.


NASKHAH al-Quran yang telah berusia ratusan tahun.

Memandangkan sambutan begitu memberangsangkan, pihak penganjur telah membuat keputusan untuk meneruskan sesi pameran dan lelongan sehingga 9 November ini untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikannya sendiri.

Penyelia pameran yang juga pensyarah Jabatan Komunikasi UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program pameran dan lelongan amal tahun lalu yang menerima sambutan menggalakkan.



KOLEKSI barang tembaga yang turut dilelong.

"Konsepnya masih sama seperti dulu tetapi kali ini, ia dianjurkan dengan lebih gemilang lagi. Apa yang penting, matlamat utamanya adalah untuk mengumpul dana dan mengisi Tabung Kebajikan Pelajar UPM, selain memenuhi syarat pengajian pelajar yang terlibat.

"Di samping itu, program ini dijalankan hasil inisiatif kami untuk membangkitkan nilai sentimen sejarah di sanubari para pencinta seni dan warisan. Ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan masyarakat majmuk dan kaya dengan pelbagai adat resam serta warisan budaya bangsa yang tidak ternilai dari segi penghayatan sejarah ketamadunan negara," kata Dr. Muhammad Pauzi kepada Kosmo!.



KEPALA tali pinggang yang digunakan puteri raja Pantai Timur.

Beliau yang turut memiliki koleksi barangan antik tersendiri mengatakan antara tarikan utama program tersebut ialah senaskhah al-Quran beriluminasi tertua di Asia Tenggara yang berusia 400 tahun dan telah disahkan keasliannya oleh perpustakaan Britain.

Jelasnya, walaupun naskhah al-Quran itu tidak dijual atau dilelong, tetapi secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada orang ramai melihatnya secara dekat kerana ia belum pernah dipamerkan di mana-mana muzium sebelum ini.

Ketua Publisiti Pameran dan Lelongan Amal Barang Antik 2008, Abdul Sharif Abdul Kadir berkata, pihaknya berasa amat gembira kerana sambutan termasuk promosi yang diterima begitu memberangsangkan.

"Kami bertuah kerana program kali ini mendapat liputan meluas daripada pengamal media sama ada media cetak mahupun elektronik. Ia sekali gus berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung untuk menyaksikannya," kata Abdul Sharif.

Bagi pengerusinya pula, Iskandar Jaafar, mereka telah melakukan persiapan sejak tiga bulan lalu bagi memastikan program amal tersebut berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Ini termasuklah mengumpul koleksi barangan antik yang diperoleh daripada pengumpul di seluruh negara.

"Seramai 24 pelajar bekerjasama membahagikan tugas masing-masing untuk menjayakan program amal ini dan ternyata, ia menerima sambutan yang lebih menggalakkan berbanding tahun lalu.

"Walaupun bukan mudah untuk memujuk pengumpul supaya menyerahkan barang mereka untuk dijual, tetapi akhirnya kami berjaya juga apabila memaklumkan tujuan program ini diadakan adalah untuk mengumpul dana tabung kebajikan pelajar UPM.

"Alhamdulillah, segala yang kami rancang berjalan seperti yang dijadualkan. Segala penat lelah kami selama beberapa bulan lalu berbaloi dengan kejayaan program ini," ujar Iskandar, seorang Pegawai Kanan Kastam Putrajaya yang juga merupakan pelajar separuh masa jurusan KOM5113.

Setakat ini, sebanyak RM20,000 telah berjaya dikumpul untuk mengisi Tabung Kebajikan Pelajar UPM dan jumlah itu dijangka akan bertambah memandangkan pameran ini telah dilanjutkan selama dua minggu lagi.

Kebanyakan pembeli terdiri daripada golongan pengumpul barang antik sendiri serta tidak ketinggalan artis dan selebriti tanah air seperti Ally Iskandar Mohd. Mardzi, Adibah Noor dan sebagainya. - KHADIJAH MOHAMAD NOR


Sumber Berita & Gambar : kosmo online 28/10/2008 (www.kosmo.com.my)


IZZI ADVERTISING------------------------------------------

Monday, October 27, 2008

Antik bila berusia 50 tahun


KAMCHENG yang diperbuat daripada perak.
------------------------------------------------------------

KURATOR Perbadanan Muzium Melaka, Mohd. Nasruddin Abdul Rahman berkata, definisi barang antik itu adalah sesuatu yang subjektif bergantung pada penilaian seseorang individu.

"Mengikut Akta Purba 1976, jika sesuatu barangan berusia melebihi 100 tahun dan mempunyai nilai sejarah, barulah ia disebut antik. Tetapi selepas Akta Warisan Kebangsaan 2005 digubal, barangan antik merujuk kepada barangan yang sudah melebihi usia 50 tahun.

"Bagaimanapun, antik dari segi artifak adalah sesuatu yang subjektif. Ia menjurus kepada barang lama yang sudah tidak digunakan lagi pada zaman sekarang serta telah dilupakan oleh masyarakat. Setiap barangan antik mempunyai nilai sejarah dan wang yang tinggi," ujarnya ketika diminta mengulas mengenai definisi sebenar barang antik.

Di Malaysia, tiada sebarang halangan dikenakan kepada sesiapa yang berminat mengumpul barangan antik. Ia adalah hak seseorang individu. Cuma, Nasruddin mengingatkan supaya pengumpul barang antik perlu memastikan bahawa setiap barangan yang mereka peroleh tidak termasuk dalam senarai artifak atau barang antik yang dilaporkan hilang kerana kecurian dan yang berkaitan dengannya.

"Lebih elok lagi sekiranya setiap pengumpul mempunyai bukti pembelian barangan tersebut daripada mana-mana sumber untuk mengelakkan daripada mengalami situasi 'terbeli barang antik yang dirompak'," jelasnya.

Ditanya sama ada pihak muzium ada menyediakan peruntukan untuk membeli barangan antik yang dijual secara lelongan dalam sesuatu program, Nasruddin berkata memang ada tetapi ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia berkait rapat dengan perbendaharaan muzium.

"Kerajaan memang ada memperuntukkan sejumlah wang untuk pihak muzium membeli koleksi barang antik yang diakui kepentingannya untuk generasi masa depan. Namun, terdapat jawatankuasa yang akan meluluskan sesuatu pembelian setelah mengambil kira penilaian pakar dari pihak muzium.

"Biasanya kita akan membelinya daripada orang persendirian atau kedai menjual barang antik. Apa yang penting kita tidak mahu barang antik yang merupakan warisan negara terlepas ke luar negara kerana jika ini berlaku sukar untuk kita mendapatkannya semula.

"Contohnya beberapa koleksi barangan sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka yang banyak terdapat di Muzium Britain berbanding muzium di negara kita sendiri. Untuk itu, penting bagi muzium dan badan yang berkaitan melihat sendiri dan memiliki sesuatu barang antik tanpa melepaskannya kepada orang luar," ungkap Nasruddin penuh makna.


Sumber berita & gambar : kosmo online 28/10/08 (www.kosmo.com.my)

Friday, October 17, 2008

Lelongan bantu pelajar

Oleh SITI KHAIRULNISAH
MOHAMMED BAJURI



AL-Quran berusia 400 tahun dan dipercayai tertua di Asia Tenggara dijangka menjadi tumpuan pengunjung pada pameran dan lelongan amal World Heritage Legacy 2008 di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, minggu depan. - Gambar HARUN OSMAN

--------------------------------------------------------------------------------

SERDANG 17 Okt. - Barangan lama atau antik bukan sahaja unik tetapi ia mencerminkan kebijaksanaan orang dahulu dalam mencipta pelbagai barangan untuk keperluan mereka.

Apa yang menarik ialah barangan itu bukan sahaja dicipta untuk berfungsi bagi kegunaan mereka tetapi juga dihasilkan dengan cantik dan berkualiti.

Sebab itu, banyak barangan lama seperti pinggan mangkuk, senjata dan radio tahan lama dan ada yang boleh digunakan sehingga ke hari ini.

Biarpun kelihatan usang dimamah usia, barangan antik mempunyai daya tarikan tersendiri serta menjadi kegilaan ramai orang bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

Dewasa ini, bilangan peminat barangan antik semakin bertambah kerana ramai yang menjadikan kegiatan mengumpul barangan berkenaan sebagai hobi.

Jika anda salah seorang daripada mereka, anda dijemput ke pameran dan lelongan amal barangan antik terbesar dibuat di Malaysia yang dinamakan 'World Heritage Legacy 2008'.

Acara itu diusahakan oleh 25 mahasiswa Sarjana Komunikasi Lanjutan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Heritage Auction House.

Pameran di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam yang akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said itu bakal menempatkan kira-kira 400 barangan antik dari seluruh dunia.

Penyelia pameran dan juga pensyarah Jabatan Komunikasi, Dr. Muhammad Pauzi Abdul Latif berkata, idea untuk mengadakan pameran itu timbul setelah kumpulan pelajar berkenaan diberikan tugasan untuk melengkapkan kursus mereka.

"Matlamat utama lelongan itu adalah untuk mengisi Tabung Kebajikan Pelajar UPM bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan untuk membayar yuran pengajian," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, dalam pameran itu nanti, orang ramai berpeluang melihat pelbagai barangan yang bukan sahaja mempunyai nilai sejarah tetapi juga nilai komersial yang tinggi.

Antara tarikan utama pengunjung ke pameran itu adalah senaskhah al-Quran beriluminasi berusia 400 tahun yang disahkan oleh pihak Perpustakaan British sebagai yang tertua di Asia Tenggara.

"Keaslian naskhah al-Quran tersebut disahkan setelah diselidik oleh pihak Perpustakaan British yang berpengalaman luas dalam bidang tersebut,'' katanya.

Jelasnya, walaupun naskhah itu tidak dijual, orang ramai tidak sepatutnya melepaskan peluang itu untuk melihat sendiri al-Quran itu dengan lebih dekat kerana ia tidak pernah dipamerkan di mana-mana muzium sebelum ini.

"Selain naskhah al-Quran itu, beberapa barang lain akan turut dipamerkan untuk tontonan orang ramai seperti Kiswah iaitu kain yang menutupi Kaabah dan keris utama Perabu Demak dari Indonesia yang berusia lebih daripada 1,000 tahun.

Bahkan, katanya, mesin jahit jenama Singer yang sudah berusia 129 tahun, kain cindai yang sudah berusia 500 tahun, perhiasan wanita seperti intan dan delima yang mencecah usia 100 tahun juga akan dipamerkan.

Muhammad Pauzi menambah, radio polyphone dari Jerman yang merupakan antara radio terawal dicipta turut dipamerkan pada pameran itu nanti.

"Kebanyakan barangan yang akan dipamerkan di muzium itu sudah mencecah ratusan tahun dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri," katanya ketika ditemui di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Beliau memberitahu, program itu akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu pameran pada 24 dan 25 Oktober manakala acara lelongan akan diadakan pada 26 Oktober.

Katanya, pameran dari pukul 9.30 pagi hingga 5 petang akan diadakan di Dewan Pameran Daeng Menambu manakala lelongan pada 26 Oktober akan dimulakan pada 2 petang di Dewan Raja Lumu Muzium Sultan Alam Shah.

Acara lelongan itu akan dikendalikan oleh jurulelong profesional dari Heritage Auction House, Radzuan Jamaluddin yang juga menyumbangkan sebahagian koleksi antiknya untuk dilelong pada acara tersebut.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi UPM, Profesor Madya Dr. Che Ibrahim Salleh yakin pencinta serta penggemar barangan antik tidak akan melepaskan peluang untuk melihat sendiri pameran barangan antik itu nanti.

"Saya juga berharap nilai sejarah yang ada pada barangan yang akan dipamerkan itu nanti dapat meniup sentimen nasionalisme di kalangan pengunjung yang hadir.

"Kadangkala nilai sejarah sesuatu sejarah itu juga berkait rapat dengan hati nurani bangsa dan seharusnya rakyat Malaysia berbangga dengan barangan yang dicipta oleh nenek moyang mereka pada zaman dahulu,'' jelasnya.

Program pameran dan lelongan amal barangan antik itu dibuka kepada orang ramai secara percuma. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web www.fbmk.upm.edu.my.

Sumber Berita & Gambar : Utusan Online 18/10/2008 (www.utusan.com.my)

Friday, September 12, 2008

Pos keluar setem Tengkolok Diraja 16 Sept.

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi setem, sampul surat hari pertama dan fail yang bertemakan Tengkolok Diraja pada 16 September ini.

Pemangku Pengarah Urusan Pos Malaysia Berhad, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, koleksi setem itu dikeluarkan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang ramai tentang keunikan budaya masyarakat negara ini.

‘‘Setem-setem ini memaparkan imej Tengkolok Diraja yang dipakai oleh semua sultan di negara ini.

‘‘Kita mahu orang ramai tahu tentang keunikan, fungsi serta perbezaan tengkolok yang dipakai sultan pada majlis dan suasana tertentu,” katanya semasa sesi penerangan kepada media tentang koleksi setem baru, sampul surat hari pertama dan fail itu di Pejabat Pos Besar di sini hari ini.

Setem yang mempunyai sembilan reka bentuk tengkolok itu dijual dengan harga 50 sen sekeping.

Sampul surat hari pertama (SSHP) pula boleh didapati dalam denominasi 30 sen dan 50 sen, SSHP dengan setem pula dijual dengan harga RM5.30 manakala fail dengan harga RM5.50.

Para pengumpul setem yang mahu membeli set lengkap itu juga boleh mendapatkannya dengan harga RM20.80.

Tambah Abu Huraira, pencipta rekaan setem itu, Datuk Raja Zahabuddin akan turut berada di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur pada hari pelancaran untuk sesi tandatangan bersama penggemar setem.

Selain itu, jelasnya, penggemar setem juga dinasihatkan agar mendaftar sebagai ahli SODA, (Standing Order Deposit Account) untuk mendapatkan setem-setem dan produk lain tanpa perlu beratur di pejabat pos semasa hari keluaran.

‘‘Orang ramai yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian di www.posonline.com.my untuk membuka akaun SODA, menambah baki serta mengemaskinikan butir peribadi mereka,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online 13/09/2008

Wednesday, September 3, 2008

Hobi menenangkan di udara Oleh RAHANA MOHD. DAHARI

KOTA BHARU 3 Sept. - Aktiviti sukan atau riadah di udara, masih belum diceburi secara meluas oleh rakyat negara ini - mungkin kerana ia dikaitkan dengan sesuatu yang mencabar, berisiko dan menelan belanja yang besar.

Salah satu daripadanya ialah luncur udara atau paragliding yang telah diperkenalkan di negara ini lebih satu dekad lalu dengan wujudnya beberapa kelab yang lebih tertumpu di Lembah Klang.

Paragliding diterbangkan daripada tempat tinggi, melayang dan meluncur mengikut kelajuan angin; justeru ia memerlukan waktu dan lokasi yang sesuai bagi membolehkan seseorang itu melayang di udara.

Bagi merasai pengalaman yang lebih menyeronokkan, Mat Jusoh Mamat, 62, seorang peniaga menggunakan luncur udara bermotor (powered paragliding) atau dikenali sebagai paramotor kerana ia memudahkan lagi penerbangan.

Masih belum ramai yang memiliki jentera itu dan kebanyakan kelab memilih menggunakan luncur udara solo atau paragliding yang bergantung 100 peratus pada udara dan ketentuan cuaca.

"Sebaliknya paramotor pula boleh diterbangkan di mana-mana tanah rata lebih kurang 20 meter untuk dijadikan landasan sebelum terbang ke udara.

"Kenderaan ini menggunakan kuasa enjin bagi menggerakkannya, kipas jenis lembut dan payung kanopi.

"Jenis bermotor kurang berisiko kerana ia masih boleh terbang jika enjin rosak," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Tumbuh, Kota Bharu baru-baru ini.

Tambahnya, luncur udara miliknya biasa diterbangkan pada ketinggian 400 hingga 500 kaki dengan kelajuan 70 kilometer meskipun ia boleh mencecah 18,000 kaki.

Dengan terbang rendah dan perlahan, baginya itulah saat paling mengasyikkan dengan pandangan yang menarik terbentang di depan mata.

Paramotor, dengan mesin yang dilekatkan di belakang juruterbangnya, ia seakan terbang bersendirian kerana kesan pendulum apabila kedudukannya tergantung di bawah payung.

Mat Jusoh, bekas tukang masak di pelantar minyak itu yang lebih mesra dengan panggilan Pak Soh tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk mempelajari dan terus mengendalikan penerbangan sebagai hobinya.

Menurutnya, kemahiran mengendalikan luncur udara bermotor itu dipelajari dua tahun lalu selepas hampir 10 tahun terlibat dengan hobi bermain alat kawalan jauh terutama menggunakan model kapal terbang dan helikopter.

"Saya beralih kepada hobi lebih mencabar selepas bertemu kawan di Miri, Sarawak dua tahun lalu yang memperkenalkan luncur udara bermotor walaupun ketika itu saya langsung tidak mempunyai asas dalam penerbangan," katanya yang merupakan pemilik tunggal kenderaan jenis itu di negeri ini.

Pak Soh berkata, di peringkat awal dia membeli luncur udara solo di Thailand dengan harga RM17,000 dan bersama seorang anak saudara yang berminat, dia mempelajari teknik mengendali dan menerbangkannya.

"Saya tidak menggunakan khidmat mana-mana jurulatih tetapi meniru kaedah yang sama ketika bermain alat kawalan jauh dan berlatih berulang kali menggunakan tali, seperti orang bermain layang-layang.

"Saya menerbangkan pesawat manakala anak saudara menunggu di bawah untuk mengawal dan membantu jika berlaku kemalangan.

Selepas dua minggu, saya mahir mengendalikannya dan sering mengadakan latihan di sekitar kawasan lapang di Bachok, Tok Bali atau di perkarangan pasar raya Tesco di sini," katanya.

Selepas setahun yakin dengan kemahiran dan pengalaman, Pak Soh membuka syarikat perkhidmatan yang berpengkalan di Pulau Perhentian, dengan membeli paramotor yang mempunyai dua tempat duduk dengan kos RM52,000.

"Seorang rakan warganegara Australia yang saya kenali sebagai James, salah seorang pemilik paramotor di negara ini dan mengendalikan kelab Airventure di Pulau Indah, Klang membantu saya mengimportnya dari Republik Czechoslovakia," katanya.

Syarikat Identify Flying Object (IFO), menawarkan perkhidmatan penerbangan mengelilingi pulau di kalangan pengunjung dengan kadar bayaran RM180 untuk menikmati keindahan pemandangan alam.

"Kita dapat melihat alam laut yang jernih biru berkaca, melihat keunikan karang dan ikan-ikan di dasarnya.

"Ia dikendalikan empat kakitangan di mana dua membantu ketika terbang dan mendarat serta dua lagi menggunakan bot berenjin mengawal di laut sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, '' katanya.

Tambahnya, untuk melibatkan diri dengan luncur udara bermotor, individu perlu memperoleh kelulusan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan mematuhi garis panduan penerbangan yang ditetapkan.

Bapa kepada empat orang anak itu turut didorong oleh isterinya, Engku Ramlah Che Ku Mat yang juga seorang bekas jurugambar di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Selain menguruskan syarikatnya, Pak Soh turut dijemput untuk mengadakan persembahan di beberapa buah sekolah malah beliau turut mempunyai beberapa pelajar yang berminat dalam bidang luncur udara untuk belajar kemahiran berkaitan.

Sumber Berita dan Gambar : Utusan Online 04/09/2008

Friday, August 29, 2008

Tunggu umpan diragut

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my



MENYUSURI liku-liku jalan menuju ke Kampung Kemensah, Hulu Klang pandangan tidak pernah terhenti melihat alam semula jadi dan aliran air sungainya yang mendamaikan.

Perjalanan ke Kolam Pancing Joran Terjun dilengkapi dengan penunjuk arah laluan yang mudah difahami.

Jarak perjalanan yang mengambil masa lebih kurang lima kilometer dari Zoo Negara, akan membuatkan kaki pancing tidak sabar mematikan enjin kereta sebaik memandangkan kolam tersebut.

Ia menjadi destinasi melepas gian memancing memandangkan joran menunggu ragutan hampir 12 jenis ikan air tawar. Ada kaki pancing sanggup menghabiskan masa sehari suntuk di situ.

Kolam seluas lebih tiga ekar itu menempatkan ikan air tawar seperti baung, rohu, patin, tongsan sisik halus, tongsan sisik kasar, keli, talapia dan banyak lagi.

Menurut pemiliknya, Normala Hamzah, Kolam Pancing Joran Terjun beroperasi sejak lima tahun lalu. Bagaimanapun sebelum itu ia telah beroperasi dengan nama Kolam Ikan Jelawat selama hampir 15 tahun.

"Kini pengendaliannya telah diambilalih oleh saya dan suami, memandangkan kami berdua begitu menggilai dunia pancing.

"Terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, destinasi ini mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penggemar aktiviti memancing.

"Memikirkan destinasi impian kaki pancing amat terhad masanya selain lokasinya yang agak jauh dari ibu kota, memberi keyakinan kepada kami untuk meneruskan operasi kolam ikan ini, selain dapat menambahkan pendapatan harian," ujarnya.

Kolam ikan tersebut, selain dibuka selama 24 jam, ia turut mengenengahkan konsep 'pancing mesti dapat ikan'.

"Ini bermaksud, tidak semestinya semua kaki pancing berjaya memperoleh ikan dalam masa sehari. Oleh itu, kami akan memberi hadiah saguhati iaitu ikan talapia kepada sesiapa yang tidak berjaya menangkap ikan pada hari itu.


AKTIVITI sihat bersama keluarga.
"Manakala setiap hari Ahad pula, kami akan mengadakan Hari Untuk Wanita. Di mana, sekiranya wanita itu datang bersama pasangan sama ada kekasih, suami mahu pun ibu bapa, dia akan diberi masa memancing secara percuma," jelas Normala lagi.

Terdapat dua kolam ikan yang masing-masing menempatkan pangkin atau dangau buluh dan gazebo dengan reka bentuk yang menarik.

Destinasi rekreasi ini merupakan antara persinggahan yang harus dikunjungi. Selain dapat mengubat kerinduan kampung halaman, ia juga dijadikan tempat mencari ketenangan dalam hiruk-pikuk kesibukan kota.

Sambil melontarkan mata kail ke tengah-tengah kolam, pasti anda tidak sabar menanti saat bilakah umpan akan menjadi ragutan ikan.

Salah seorang pemancing, Zakaria Ayob, 26, memberitahu, kunjungannya bersama rakan-rakan bukan sekadar hobi, tetapi adalah untuk mengurangkan kekusutan minda setelah lima hari bekerja.


PINTU masuk ke kolam pancing Joran Terjun.

"Lokasinya yang strategik, jauh dari pandangan bangunan komersial, membuatkan kami memilih kolam ini sebagai tempat pertama untuk beristirehat, selain untuk menangkap ikan," kata pengunjung tetap Kolam Pancing Joran Terjun ini.

Celah seorang lagi rakannya, Ahmad Khusaini Ibrahim, 27, dengan memperkenalkan konsep pancing mesti dapat ikan, memberi peluang kepada semua kaki pancing agar tidak pulang dengan tangan kosong.

Sumber Gambar dan Berita : Kosmo Online 30/08/2008

Thursday, July 31, 2008

Sungai Tembeling lubuk ikan

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 29 Julai - Menaiki bot menyusuri Sungai Tembeling hingga ke kawasan hulu sungai merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Ini kerana selain melihat keindahan alam semulajadi yang menakjubkan, pelawat dapat melihat aktiviti harian penduduk di kawasan pedalaman yang jarang dapat disaksikan di tempat lain.

Antara aktiviti yang dapat dilihat ialah menangkap ikan sungai atau ikan air tawar.


Dua nelayan menunjukkan ikan lawang yang ditangkap menggunakan jaring di Sungai Tembeling, Hulu Tembeling, Jerantut. ---------------------------

Kebanyakan penduduk Hulu Tembeling yang masih berada pada garis kemiskinan, bekerja sebagai nelayan sungai, mencari kayu gaharu, rotan, pemandu bot, petani dan pemandu pelancong.

Satu keunikan yang boleh disaksikan di sini ialah kebolehan nelayan sungai menangkap ikan air tawar untuk dijadikan makanan harian dan selebihnya dipasarkan bagi memperoleh pendapatan.

Sungai Tembeling yang belum tercemar dipenuhi habitat pelbagai spesies ikan air tawar yang tidak ternilai harganya jika dipasarkan di bandar.

Kebiasaannya, setiap kampung di persisiran Sungai Tembeling iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai mewujudkan 'pasar sementara' di tepi sungai berkenaan untuk menjual hasil tangkapan ikan segar atau yang sudah siap disalai.

Ikan yang dijual terdiri daripada baung, lawang, jenkua, jelawat, patin, temoleh, belida, tengalan, kelah, kalui dan udang galah yang ditangkap menggunakan alat tradisional seperti jaring, pukat, tubin, candik dan jala pada musim tengkujuh dan kemarau.

Nelayan di kampung tersebut keluar mencari ikan di Sungai Tembeling pada awal pagi dan petang untuk menahan lukah, bubu, tubin di samping menjala, menjaring dan mencandik.

Peralatan tradisional itu diperbuat daripada buluh kerana ia ringan dan mudah dikendalikan ketika banjir apabila paras air sungai melimpahi tebing.

Seorang penduduk Kampung Pengau, Shahraddin A. Karim, 45, berkata, menangkap ikan sungai merupakan sumber pendapatan penduduk Hulu Tembeling sejak zaman dahulu.

''Kami menangkap ikan untuk keperluan makanan keluarga dan selebihnya dipasarkan ke Bandar Jerantut dan Kuala Tahan bagi memperoleh wang menyara persekolahan anak dan kebajikan lain," katanya.

Menurut beliau, kebanyakan nelayan sungai di situ mempunyai permit menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan.

''Kita sentiasa memastikan tidak menceroboh kawasan larangan iaitu santuari pemuliharaan spesies akuakultur yang bermutu tinggi bermula dari Kampung Pagi hingga ke Kuala Tahan," jelasnya.

DerasSeorang penduduk Kampung Tempan, Adanan Nipah, 52, berkata, ikan banyak bermain di tepi tebing, kerana dipercayai ia 'mabuk selut' atau bersembunyi dari arus sungai yang deras dan juga mencari makanan terampai yang dibawa arus.

Selain jaring, Adanan memberitahu, penggunaan aran (mata kail dipasang tali atau benang kasar yang diikat pada dahan pokok) itu digunakan untuk menangkap ikan temoleh dan patin.

Rakannya, Razali Malik, 42, berkata, nelayan kini amat sukar untuk mendapat ikan patin, kelah dan jelawat, malah jarang sekali dapat menangkap ikan tersebut yang beratnya melebihi lima kilogram kerana spesies berkenaan semakin berkurangan.

''Biasanya saya mendapat ikan patin, kelah dan jelawat yang beratnya antara dua hingga empat kilogram. Ikan ini dijual kepada peraih untuk memperoleh wang belanja," katanya.

Spesies berkenaan, menurut beliau, sudah berkurangan akibat tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan peralatan kuasa elektrik, bom dan tuba pada waktu malam untuk menangkap ikan.

Seorang nelayan, Zainuddin Nong, 45, berkata kebanyakan nelayan Hulu Tembeling lebih gemar menggunakan peralatan tubin, jala, candik, aran dan jaring untuk menangkap ikan di Sungai Tembeling, Sungai Pengau dan Sungai Kenyam.

Kebiasaannya, kata Zainuddin, nelayan berjaya menangkap ikan baung, patin, kelah, temoleh, tengalan, belida, jelawat dan sia untuk dijadikan juadah atau dijual.

Penduduk Kampung Bantai, Zulkefli Jamaluddin, 43, berkata, sesetengah nelayan yang berkemampuan menggunakan bot berenjin 45 dan 55 kuasa kuda menyusuri Sungai Tembeling sejauh 150 kilometer untuk menangkap ikan.

''Pada waktu malam, nelayan akan berkhemah di tepi sungai sambil menikmati ikan bakar manakala ada yang disiang akan disalai di atas api untuk dijual kepada pelawat yang yang singgah di situ," katanya.

Nelayan terbabit, jelasnya, biasanya memasang jaring di lubuk atau menggunakan jaring hanyut sepanjang satu kilometer di sungai itu.

Kaedah tersebut dianggap berbaloi kerana nelayan mampu memperoleh sehingga 40 ekor ikan pelbagai spesies, ujarnya.

''Ikan berkenaan dikurung di dalam sangkar yang direndamkan ke dalam sungai supaya terus hidup untuk dijual kepada peraih dan pengusaha restoran terapung di Taman Negara, Kuala Tahan," jelasnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati harga ikan air tawar Sungai Tembeling kini melonjak selepas kenaikan harga minyak dan permintaan tinggi daripada orang ramai serta pengusaha chalet di Taman Negara.

Bagi ikan hidup, ia dijual antara RM20 hingga RM120 sekilogram manakala ikan salai dijual antara RM10 hingga RM15 sekilogram.

Antara spesies yang paling mahal, mencecah harga RM120.00 sekilogram ialah kelah, patin muncung dan temoleh.

Sumber : Utusan Online 30/07/2008.

Friday, July 18, 2008

Punpun kaki pancing


PUNPUN ini dicari Jemaah di sekitar pantai Morib. Sebungkus punpun dijual pada harga RM5.

JIKA anda seorang pengguna Lebuh Raya Kesas, anda mungkin pernah terserempak dengan gelagat seorang warga tua yang menjual umpan cacing untuk kaki pancing berhampiran Pelabuhan Klang. Cacing yang besar dan panjang tetapi telah dikerat-kerat itu dikenali sebagai punpun.



PENGGUNA Lebuh Raya Kesas dekat Pelabuhan Klang mungkin biasa terserempak dengan pemandangan seperti ini.


Si penjual, Jemaah Mat Kasli, 67, seperti juga kaki pancing yang sanggup menunggu lama sebelum mata kail dipagut ikan, juga setia menanti kaki pancing singgah membeli umpan yang dijualnya.

Ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak ini sering ditemani cucunya iaitu Mohammad Haikal Hairi, 3. Dia mencari umpan itu di sekitar Pantai Baru dan Tanjung Layang di Morib, Selangor. Pelabuhan Klang sememangnya menjadi tumpuan kaki pancing terutama pada hujung minggu.

Setiap umpan pancing yang mengandungi empat hingga lima ekor punpun itu dibungkus secara rapi dan dijual pada harga RM5 sebungkus.



PUNPUN digemari kaki pancing bagi mengumpan ikan.


Menurut Jemaah, purata pendapatan hasil jualan umpan tersebut boleh mencecah sehingga RM100 sehari, bergantung kepada bilangan pembeli.

Wanita dari Banting ini menjual umpan tersebut setiap hujung minggu iaitu dari Jumaat hingga Ahad.

Gara-gara ingin mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan, dia terpaksa bermalam di pondok yang didirikan di tepi lebuh raya berkenaan.



TANJUNG Harapan di Pelabuhan Klang sering menjadi tumpuan kaki pancing pada hujung minggu.
Sumber : Kosmo Online bertarikh 18/7/08