Google
 
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Friday, October 17, 2008

Lelongan bantu pelajar

Oleh SITI KHAIRULNISAH
MOHAMMED BAJURI



AL-Quran berusia 400 tahun dan dipercayai tertua di Asia Tenggara dijangka menjadi tumpuan pengunjung pada pameran dan lelongan amal World Heritage Legacy 2008 di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, minggu depan. - Gambar HARUN OSMAN

--------------------------------------------------------------------------------

SERDANG 17 Okt. - Barangan lama atau antik bukan sahaja unik tetapi ia mencerminkan kebijaksanaan orang dahulu dalam mencipta pelbagai barangan untuk keperluan mereka.

Apa yang menarik ialah barangan itu bukan sahaja dicipta untuk berfungsi bagi kegunaan mereka tetapi juga dihasilkan dengan cantik dan berkualiti.

Sebab itu, banyak barangan lama seperti pinggan mangkuk, senjata dan radio tahan lama dan ada yang boleh digunakan sehingga ke hari ini.

Biarpun kelihatan usang dimamah usia, barangan antik mempunyai daya tarikan tersendiri serta menjadi kegilaan ramai orang bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

Dewasa ini, bilangan peminat barangan antik semakin bertambah kerana ramai yang menjadikan kegiatan mengumpul barangan berkenaan sebagai hobi.

Jika anda salah seorang daripada mereka, anda dijemput ke pameran dan lelongan amal barangan antik terbesar dibuat di Malaysia yang dinamakan 'World Heritage Legacy 2008'.

Acara itu diusahakan oleh 25 mahasiswa Sarjana Komunikasi Lanjutan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Heritage Auction House.

Pameran di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam yang akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said itu bakal menempatkan kira-kira 400 barangan antik dari seluruh dunia.

Penyelia pameran dan juga pensyarah Jabatan Komunikasi, Dr. Muhammad Pauzi Abdul Latif berkata, idea untuk mengadakan pameran itu timbul setelah kumpulan pelajar berkenaan diberikan tugasan untuk melengkapkan kursus mereka.

"Matlamat utama lelongan itu adalah untuk mengisi Tabung Kebajikan Pelajar UPM bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan untuk membayar yuran pengajian," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, dalam pameran itu nanti, orang ramai berpeluang melihat pelbagai barangan yang bukan sahaja mempunyai nilai sejarah tetapi juga nilai komersial yang tinggi.

Antara tarikan utama pengunjung ke pameran itu adalah senaskhah al-Quran beriluminasi berusia 400 tahun yang disahkan oleh pihak Perpustakaan British sebagai yang tertua di Asia Tenggara.

"Keaslian naskhah al-Quran tersebut disahkan setelah diselidik oleh pihak Perpustakaan British yang berpengalaman luas dalam bidang tersebut,'' katanya.

Jelasnya, walaupun naskhah itu tidak dijual, orang ramai tidak sepatutnya melepaskan peluang itu untuk melihat sendiri al-Quran itu dengan lebih dekat kerana ia tidak pernah dipamerkan di mana-mana muzium sebelum ini.

"Selain naskhah al-Quran itu, beberapa barang lain akan turut dipamerkan untuk tontonan orang ramai seperti Kiswah iaitu kain yang menutupi Kaabah dan keris utama Perabu Demak dari Indonesia yang berusia lebih daripada 1,000 tahun.

Bahkan, katanya, mesin jahit jenama Singer yang sudah berusia 129 tahun, kain cindai yang sudah berusia 500 tahun, perhiasan wanita seperti intan dan delima yang mencecah usia 100 tahun juga akan dipamerkan.

Muhammad Pauzi menambah, radio polyphone dari Jerman yang merupakan antara radio terawal dicipta turut dipamerkan pada pameran itu nanti.

"Kebanyakan barangan yang akan dipamerkan di muzium itu sudah mencecah ratusan tahun dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri," katanya ketika ditemui di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Beliau memberitahu, program itu akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu pameran pada 24 dan 25 Oktober manakala acara lelongan akan diadakan pada 26 Oktober.

Katanya, pameran dari pukul 9.30 pagi hingga 5 petang akan diadakan di Dewan Pameran Daeng Menambu manakala lelongan pada 26 Oktober akan dimulakan pada 2 petang di Dewan Raja Lumu Muzium Sultan Alam Shah.

Acara lelongan itu akan dikendalikan oleh jurulelong profesional dari Heritage Auction House, Radzuan Jamaluddin yang juga menyumbangkan sebahagian koleksi antiknya untuk dilelong pada acara tersebut.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi UPM, Profesor Madya Dr. Che Ibrahim Salleh yakin pencinta serta penggemar barangan antik tidak akan melepaskan peluang untuk melihat sendiri pameran barangan antik itu nanti.

"Saya juga berharap nilai sejarah yang ada pada barangan yang akan dipamerkan itu nanti dapat meniup sentimen nasionalisme di kalangan pengunjung yang hadir.

"Kadangkala nilai sejarah sesuatu sejarah itu juga berkait rapat dengan hati nurani bangsa dan seharusnya rakyat Malaysia berbangga dengan barangan yang dicipta oleh nenek moyang mereka pada zaman dahulu,'' jelasnya.

Program pameran dan lelongan amal barangan antik itu dibuka kepada orang ramai secara percuma. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web www.fbmk.upm.edu.my.

Sumber Berita & Gambar : Utusan Online 18/10/2008 (www.utusan.com.my)

No comments: