Google
 
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Monday, November 23, 2009

Bidaan setem di Iraq menguntungkan

Oleh Sammy Ketz



Dikenali sebagai pakar simen di Iraq, Anis Amjad menjalankan tugasnya sepanjang hari di kilang. Tetapi tiada apa yang boleh menghalangnya daripada mengadakan aktiviti bidaan setem di kota lama Baghdad pada setiap hari Sabtu.

Pada hari tersebut, jurutera kimia berusia 56 tahun itu membuka kot putihnya dan mengangkat tukul kayu. Bidaan tersebut berlangsung di sebuah bangunan Uthmaniah lama yang dibina pada 1908. Sembilan tahun lalu, bangunan itu telah dijadikan pejabat pos British yang pertama. Kotak surat berwarna merah masih menghiasi sebahagian kecil ruangnya.

"Saya merupakan ketua jabatan pemeriksaan di Kementerian Industri dan bertanggungjawab mengawasi kerja-kerja melibatkan simen di Iraq. Saya sering menolak tugasan di luar negara supaya tidak terlepas acara ini," katanya yang masih bujang dan telah menjalankan bidaan tersebut sejak 12 tahun lalu.

Minat terhadap setem pantas menjalar dalam kalangan ahli Persatuan Filatelik dan Numismatik Iraq yang ditubuhkan pada 1951. Persatuan itu baru mengadakan pertemuan semula baru-baru ini selepas 'tergendala' selama tiga tahun ekoran pertembungan antara puak Syiah dan Sunnah, selain kehadiran Al-Qaeda.

Persatuan yang berkait rapat dengan aktiviti mengumpul dan mengkaji setem itu mempunyai seramai lebih 2,000 orang ahli rasmi. Namun hanya sekitar 80 orang ahli yang aktif menjual dan membeli setem.

Harga setem meningkat mendadak terutama yang memaparkan gambar pemimpin diktator Saddam Hussein yang dijatuhkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.

"Sebelum tahun 2003, negara ini hanya tertumpu kepada isu dalaman dan terputus hubungan dengan pasaran antarabangsa. Tetapi kini perniagaan telah menjadi semakin baik. Kami mendapat permintaan yang tinggi daripada pengumpul setem AS dan British. Mereka mahukan setem yang mempunyai gambar Saddam di atasnya," kata Kamal Kamel, 46, yang menguruskan sebuah gerai di daerah Bab al-Muazzam, lokasi di mana pertemuan itu berlangsung.

"Tidak seperti kami, pengumpul-pengumpul itu tidak pernah puas dengan setem Saddam. Mereka tidak boleh mendapatkannya kerana sekatan ekonomi," tambahnya sambil merujuk kepada sekatan perdagangan dengan Iraq yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu selepas Saddam menceroboh Kuwait pada tahun 1990.

"Sekeping setem dengan gambar Saddam Hussein yang dahulunya bernilai 200 dinar (RM0.60) kini boleh dijual pada harga 5,000 dinar (AS$4.3 atau RM15). Pendapatan bulanan saya telah berubah daripada AS$200 (RM680) kepada AS$1,500 (RM5,000). Harganya benar-benar sudah naik," katanya.

Tambah Kamel, hanya orang Iraq yang datang kedainya. Tetapi orang tengahnya mempunyai akses ke Zon Hijau (Green Zone) yang menjual setem-setem tersebut kepada askar-askar Amerika dan pegawai diplomatik.

Duduk di sekeliling sebuah meja panjang, kira-kira 30 orang pengedar dan pengumpul memeriksa setem, duit kertas serta syiling yang menjadi antara barangan yang ditawarkan pada hari tersebut.

Suasana dimeriahkan dengan suara pembida mengendalikan bidaan. Namun, semua harga bidaan yang dibuat adalah lebih rendah berbanding harga dalam katalog.

Dinding pula digantung dengan salinan surat daripada Persatuan Filatelik British bertarikh 1917, selain setem dari Iraq dan beberapa negara Arab lain.

Semenjak setem pertama Iraq dikeluarkan pada tahun 1917, perkhidmatan pos telah mengeluarkan sebanyak 1,824 siri setem termasuk 24 siri selepas zaman kejatuhan Saddam.

Garo Manaskan, 51, merupakan rakyat Iraq yang berasal dari Armenia dan menguruskan sebuah restoran terkenal di Baghdad. Dia menjual beberapa item daripada tiga juta koleksi yang dimilikinya.

"Saya mula mengumpul setem pada usia enam tahun. Itulah minat dan jiwa saya. Apabila ia tidak lagi boleh memuaskan hati, saya akan menjualnya dan membeli setem yang baru. Memandangkan saya belum berkahwin, saya akan memberikan semua koleksi saya kepada gereja Armenia," katanya.

Di sebelah Garo ialah peminat duit syiling, Haqqi Abdel Karim, 45. Ini kali pertama dia hadir ke majlis bidaan tersebut selepas tiga tahun melarikan diri ke Syria bagi mengelak daripada menjadi mangsa keganasan.

"Hari ini keadaan semakin baik. Saya sudah berfikir untuk kembali. Tetapi, persatuan harus berpindah ke tempat lain kerana daerah ini tidak selamat," kata Karim.

Ahli-ahli persatuan datang dari pelbagai latar belakang agama, kepercayaan dan etnik. Tetapi, pihak atasan persatuan menghalang pemilihan jawankuasa sejak enam tahun lalu.

"Dua pertiga yang ada di sini mengaut keuntungan dengan sekadar mengambil bahagian. Malah, ada yang mengetuai kumpulan aktiviti mencuri di pejabat-pejabat pos sewaktu awal serangan tentera Amerika.

"Apabila anda menuduh mereka, ada yang mengambil tindakan mendiamkan diri. Ada pula yang berjanji untuk memulangkannya, tanpa berniat untuk berbuat demikian.

"Mereka juga akan cuba yakinkan anda bahawa kesemua setem itu adalah lebih baik berada pada mereka daripada tangan pengumpul yang tidak mengetahui mengenai filateli," kata salah seorang ahli filateli yang aktif, Mohammed Dhia.

Dhia merujuk kepada sebuah pejabat pos yang terletak di al-Koshla, di Seraglio Street dalam kawasan kejiranan al-Muazzam di mana sebuah muzium setem berdiri di sana sebelum tahun 2003. Semua koleksi muzium tersebut telah habis dicuri dan dijual kepada pengumpul setem itu.


Sumber : Kosmo Online 24/11/09 (www.kosmo.com.my)

No comments: