Google
 
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Friday, August 29, 2008

Tunggu umpan diragut

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my



MENYUSURI liku-liku jalan menuju ke Kampung Kemensah, Hulu Klang pandangan tidak pernah terhenti melihat alam semula jadi dan aliran air sungainya yang mendamaikan.

Perjalanan ke Kolam Pancing Joran Terjun dilengkapi dengan penunjuk arah laluan yang mudah difahami.

Jarak perjalanan yang mengambil masa lebih kurang lima kilometer dari Zoo Negara, akan membuatkan kaki pancing tidak sabar mematikan enjin kereta sebaik memandangkan kolam tersebut.

Ia menjadi destinasi melepas gian memancing memandangkan joran menunggu ragutan hampir 12 jenis ikan air tawar. Ada kaki pancing sanggup menghabiskan masa sehari suntuk di situ.

Kolam seluas lebih tiga ekar itu menempatkan ikan air tawar seperti baung, rohu, patin, tongsan sisik halus, tongsan sisik kasar, keli, talapia dan banyak lagi.

Menurut pemiliknya, Normala Hamzah, Kolam Pancing Joran Terjun beroperasi sejak lima tahun lalu. Bagaimanapun sebelum itu ia telah beroperasi dengan nama Kolam Ikan Jelawat selama hampir 15 tahun.

"Kini pengendaliannya telah diambilalih oleh saya dan suami, memandangkan kami berdua begitu menggilai dunia pancing.

"Terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, destinasi ini mendapat sambutan menggalakkan di kalangan penggemar aktiviti memancing.

"Memikirkan destinasi impian kaki pancing amat terhad masanya selain lokasinya yang agak jauh dari ibu kota, memberi keyakinan kepada kami untuk meneruskan operasi kolam ikan ini, selain dapat menambahkan pendapatan harian," ujarnya.

Kolam ikan tersebut, selain dibuka selama 24 jam, ia turut mengenengahkan konsep 'pancing mesti dapat ikan'.

"Ini bermaksud, tidak semestinya semua kaki pancing berjaya memperoleh ikan dalam masa sehari. Oleh itu, kami akan memberi hadiah saguhati iaitu ikan talapia kepada sesiapa yang tidak berjaya menangkap ikan pada hari itu.


AKTIVITI sihat bersama keluarga.
"Manakala setiap hari Ahad pula, kami akan mengadakan Hari Untuk Wanita. Di mana, sekiranya wanita itu datang bersama pasangan sama ada kekasih, suami mahu pun ibu bapa, dia akan diberi masa memancing secara percuma," jelas Normala lagi.

Terdapat dua kolam ikan yang masing-masing menempatkan pangkin atau dangau buluh dan gazebo dengan reka bentuk yang menarik.

Destinasi rekreasi ini merupakan antara persinggahan yang harus dikunjungi. Selain dapat mengubat kerinduan kampung halaman, ia juga dijadikan tempat mencari ketenangan dalam hiruk-pikuk kesibukan kota.

Sambil melontarkan mata kail ke tengah-tengah kolam, pasti anda tidak sabar menanti saat bilakah umpan akan menjadi ragutan ikan.

Salah seorang pemancing, Zakaria Ayob, 26, memberitahu, kunjungannya bersama rakan-rakan bukan sekadar hobi, tetapi adalah untuk mengurangkan kekusutan minda setelah lima hari bekerja.


PINTU masuk ke kolam pancing Joran Terjun.

"Lokasinya yang strategik, jauh dari pandangan bangunan komersial, membuatkan kami memilih kolam ini sebagai tempat pertama untuk beristirehat, selain untuk menangkap ikan," kata pengunjung tetap Kolam Pancing Joran Terjun ini.

Celah seorang lagi rakannya, Ahmad Khusaini Ibrahim, 27, dengan memperkenalkan konsep pancing mesti dapat ikan, memberi peluang kepada semua kaki pancing agar tidak pulang dengan tangan kosong.

Sumber Gambar dan Berita : Kosmo Online 30/08/2008

2 comments:

ita.itu said...

kalo laki kaki mancing parah ek..sib baik laki den x..hehe

izman said...

ita.itu,
jangan cakap cam tu, aku kaki pancing tau. kecik ati aku. (sambil manyapu air mata)