Google
 
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Thursday, July 31, 2008

Sungai Tembeling lubuk ikan

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 29 Julai - Menaiki bot menyusuri Sungai Tembeling hingga ke kawasan hulu sungai merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Ini kerana selain melihat keindahan alam semulajadi yang menakjubkan, pelawat dapat melihat aktiviti harian penduduk di kawasan pedalaman yang jarang dapat disaksikan di tempat lain.

Antara aktiviti yang dapat dilihat ialah menangkap ikan sungai atau ikan air tawar.


Dua nelayan menunjukkan ikan lawang yang ditangkap menggunakan jaring di Sungai Tembeling, Hulu Tembeling, Jerantut. ---------------------------

Kebanyakan penduduk Hulu Tembeling yang masih berada pada garis kemiskinan, bekerja sebagai nelayan sungai, mencari kayu gaharu, rotan, pemandu bot, petani dan pemandu pelancong.

Satu keunikan yang boleh disaksikan di sini ialah kebolehan nelayan sungai menangkap ikan air tawar untuk dijadikan makanan harian dan selebihnya dipasarkan bagi memperoleh pendapatan.

Sungai Tembeling yang belum tercemar dipenuhi habitat pelbagai spesies ikan air tawar yang tidak ternilai harganya jika dipasarkan di bandar.

Kebiasaannya, setiap kampung di persisiran Sungai Tembeling iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai mewujudkan 'pasar sementara' di tepi sungai berkenaan untuk menjual hasil tangkapan ikan segar atau yang sudah siap disalai.

Ikan yang dijual terdiri daripada baung, lawang, jenkua, jelawat, patin, temoleh, belida, tengalan, kelah, kalui dan udang galah yang ditangkap menggunakan alat tradisional seperti jaring, pukat, tubin, candik dan jala pada musim tengkujuh dan kemarau.

Nelayan di kampung tersebut keluar mencari ikan di Sungai Tembeling pada awal pagi dan petang untuk menahan lukah, bubu, tubin di samping menjala, menjaring dan mencandik.

Peralatan tradisional itu diperbuat daripada buluh kerana ia ringan dan mudah dikendalikan ketika banjir apabila paras air sungai melimpahi tebing.

Seorang penduduk Kampung Pengau, Shahraddin A. Karim, 45, berkata, menangkap ikan sungai merupakan sumber pendapatan penduduk Hulu Tembeling sejak zaman dahulu.

''Kami menangkap ikan untuk keperluan makanan keluarga dan selebihnya dipasarkan ke Bandar Jerantut dan Kuala Tahan bagi memperoleh wang menyara persekolahan anak dan kebajikan lain," katanya.

Menurut beliau, kebanyakan nelayan sungai di situ mempunyai permit menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan.

''Kita sentiasa memastikan tidak menceroboh kawasan larangan iaitu santuari pemuliharaan spesies akuakultur yang bermutu tinggi bermula dari Kampung Pagi hingga ke Kuala Tahan," jelasnya.

DerasSeorang penduduk Kampung Tempan, Adanan Nipah, 52, berkata, ikan banyak bermain di tepi tebing, kerana dipercayai ia 'mabuk selut' atau bersembunyi dari arus sungai yang deras dan juga mencari makanan terampai yang dibawa arus.

Selain jaring, Adanan memberitahu, penggunaan aran (mata kail dipasang tali atau benang kasar yang diikat pada dahan pokok) itu digunakan untuk menangkap ikan temoleh dan patin.

Rakannya, Razali Malik, 42, berkata, nelayan kini amat sukar untuk mendapat ikan patin, kelah dan jelawat, malah jarang sekali dapat menangkap ikan tersebut yang beratnya melebihi lima kilogram kerana spesies berkenaan semakin berkurangan.

''Biasanya saya mendapat ikan patin, kelah dan jelawat yang beratnya antara dua hingga empat kilogram. Ikan ini dijual kepada peraih untuk memperoleh wang belanja," katanya.

Spesies berkenaan, menurut beliau, sudah berkurangan akibat tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan peralatan kuasa elektrik, bom dan tuba pada waktu malam untuk menangkap ikan.

Seorang nelayan, Zainuddin Nong, 45, berkata kebanyakan nelayan Hulu Tembeling lebih gemar menggunakan peralatan tubin, jala, candik, aran dan jaring untuk menangkap ikan di Sungai Tembeling, Sungai Pengau dan Sungai Kenyam.

Kebiasaannya, kata Zainuddin, nelayan berjaya menangkap ikan baung, patin, kelah, temoleh, tengalan, belida, jelawat dan sia untuk dijadikan juadah atau dijual.

Penduduk Kampung Bantai, Zulkefli Jamaluddin, 43, berkata, sesetengah nelayan yang berkemampuan menggunakan bot berenjin 45 dan 55 kuasa kuda menyusuri Sungai Tembeling sejauh 150 kilometer untuk menangkap ikan.

''Pada waktu malam, nelayan akan berkhemah di tepi sungai sambil menikmati ikan bakar manakala ada yang disiang akan disalai di atas api untuk dijual kepada pelawat yang yang singgah di situ," katanya.

Nelayan terbabit, jelasnya, biasanya memasang jaring di lubuk atau menggunakan jaring hanyut sepanjang satu kilometer di sungai itu.

Kaedah tersebut dianggap berbaloi kerana nelayan mampu memperoleh sehingga 40 ekor ikan pelbagai spesies, ujarnya.

''Ikan berkenaan dikurung di dalam sangkar yang direndamkan ke dalam sungai supaya terus hidup untuk dijual kepada peraih dan pengusaha restoran terapung di Taman Negara, Kuala Tahan," jelasnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati harga ikan air tawar Sungai Tembeling kini melonjak selepas kenaikan harga minyak dan permintaan tinggi daripada orang ramai serta pengusaha chalet di Taman Negara.

Bagi ikan hidup, ia dijual antara RM20 hingga RM120 sekilogram manakala ikan salai dijual antara RM10 hingga RM15 sekilogram.

Antara spesies yang paling mahal, mencecah harga RM120.00 sekilogram ialah kelah, patin muncung dan temoleh.

Sumber : Utusan Online 30/07/2008.

2 comments:

ita.itu said...

wah best kan kalo hari2 mkn ikan fresh..hehe

izman said...

ita.itu,
kita kat klang valley ni asyik makan ikan dah mata merah je la.. nak fresh kena cuti lepak tepi sungai atau pantai la.