Google
 
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Thursday, October 29, 2009

Hidupkan budaya kumpul poskad – Sultan Selangor


Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima buku Perak 300 Early Postcards daripada Raja Nazrin Shah sambil diperhatikan Sultan Azlan Shah di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, semalam.
-----------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR 29 Okt. – Budaya mengumpul barangan lama seperti poskad atau setem yang semakin dilupakan oleh generasi muda perlu dihidupkan semula kerana ia mampu memantapkan jati diri dan semangat cintakan negara.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, hobi tersebut amat unik dan menarik kerana pengumpulnya secara tidak langsung menjadi pencatat sejarah kepada budaya, sosial, tamadun sesebuah bangsa.

Titah baginda, walaupun generasi muda pada masa ini banyak terdedah dengan pelbagai teknologi canggih terutama khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel hingga mengurangkan kepentingan mengirim surat atau poskad tetapi amalan tersebut tidak boleh dibiarkan terus lenyap.

“Budaya mengumpul poskad atau setem perlu dihidupkan semula kerana ia mempunyai signifikan sejarah kepada sesebuah negara, budaya dan bangsa serta peristiwa penting yang berlaku.

“Walaupun dalam poskad dan setem hanya memaparkan gambar sahaja tetapi percayalah sekeping gambar mampu memberi beribu-ribu pengertian dan tafsiran,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa melancarkan buku Perak 300 Early Postcards hasil karangan dan koleksi Prof. Cheah Jin Seng, sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Hadir sama Sultan Azlan; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Buku itu memuatkan 300 keping poskad koleksi Jin Seng berkaitan dengan sejarah berkaitan Perak antaranya sekeping poskad yang memaparkan gambar Raja-Raja Melayu menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja pertama atau dikenali dengan Mesyuarat Durbar pada 13 Julai 1897 di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar Perak.

Sultan Sharafuddin yang turut mempunyai minat mengumpul barangan lama berkongsi pengalamannya membeli dan menghantar poskad di setiap pelabuhan persinggahan semasa belayar selama dua tahun mengelilingi dunia pada 1995.

“Seingat beta, beta telah mengirim sebanyak 200 keping poskad kepada anakanda (Tengku Amir) sepanjang pelayaran itu dan tidak mustahil satu hari nanti anakanda beta akan menjemput Raja Nazrin melancarkan buku bertajuk 200 boring postcards by my dad,” titah baginda sambil berseloroh.


Sumber Berita & Gambar : Utusan Online 30/10/2009

1 comment:

Hasnah said...

Saya ada banyak poskad, satu album penuh. Nak beli? boleh jer...