Google
 
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Monday, October 27, 2008

Antik bila berusia 50 tahun


KAMCHENG yang diperbuat daripada perak.
------------------------------------------------------------

KURATOR Perbadanan Muzium Melaka, Mohd. Nasruddin Abdul Rahman berkata, definisi barang antik itu adalah sesuatu yang subjektif bergantung pada penilaian seseorang individu.

"Mengikut Akta Purba 1976, jika sesuatu barangan berusia melebihi 100 tahun dan mempunyai nilai sejarah, barulah ia disebut antik. Tetapi selepas Akta Warisan Kebangsaan 2005 digubal, barangan antik merujuk kepada barangan yang sudah melebihi usia 50 tahun.

"Bagaimanapun, antik dari segi artifak adalah sesuatu yang subjektif. Ia menjurus kepada barang lama yang sudah tidak digunakan lagi pada zaman sekarang serta telah dilupakan oleh masyarakat. Setiap barangan antik mempunyai nilai sejarah dan wang yang tinggi," ujarnya ketika diminta mengulas mengenai definisi sebenar barang antik.

Di Malaysia, tiada sebarang halangan dikenakan kepada sesiapa yang berminat mengumpul barangan antik. Ia adalah hak seseorang individu. Cuma, Nasruddin mengingatkan supaya pengumpul barang antik perlu memastikan bahawa setiap barangan yang mereka peroleh tidak termasuk dalam senarai artifak atau barang antik yang dilaporkan hilang kerana kecurian dan yang berkaitan dengannya.

"Lebih elok lagi sekiranya setiap pengumpul mempunyai bukti pembelian barangan tersebut daripada mana-mana sumber untuk mengelakkan daripada mengalami situasi 'terbeli barang antik yang dirompak'," jelasnya.

Ditanya sama ada pihak muzium ada menyediakan peruntukan untuk membeli barangan antik yang dijual secara lelongan dalam sesuatu program, Nasruddin berkata memang ada tetapi ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia berkait rapat dengan perbendaharaan muzium.

"Kerajaan memang ada memperuntukkan sejumlah wang untuk pihak muzium membeli koleksi barang antik yang diakui kepentingannya untuk generasi masa depan. Namun, terdapat jawatankuasa yang akan meluluskan sesuatu pembelian setelah mengambil kira penilaian pakar dari pihak muzium.

"Biasanya kita akan membelinya daripada orang persendirian atau kedai menjual barang antik. Apa yang penting kita tidak mahu barang antik yang merupakan warisan negara terlepas ke luar negara kerana jika ini berlaku sukar untuk kita mendapatkannya semula.

"Contohnya beberapa koleksi barangan sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka yang banyak terdapat di Muzium Britain berbanding muzium di negara kita sendiri. Untuk itu, penting bagi muzium dan badan yang berkaitan melihat sendiri dan memiliki sesuatu barang antik tanpa melepaskannya kepada orang luar," ungkap Nasruddin penuh makna.


Sumber berita & gambar : kosmo online 28/10/08 (www.kosmo.com.my)

No comments: